Sabtu, 21 Julai 2018

BADAL HAJI



SUASANA di aras bawah pusat operasi Tabung Haji (TH) di bangunan Abraj Al-Janadriyah


Kita banyak tengok iklan badal haji di tampal kat pagar masjid dan surau, tampal kat pokok dengan bermacam-macam harga dari RM1400.  Ada yang mendakwa dilakukan oleh pelajar-pelajar dan pemastautin di Arab Saudi.

Lembaga Urusan Tabung Haji juga ada membuka peluang kepada orang ramai untuk upah badal haji. Kosnya agak tinggi dibandingkan dengan pihak lain. Cumanya dalam urusan ini Tabung Haji lebih teliti dalam pemilihan pembadal haji. Sesi temuduga dilakukan untuk memastikan calon-calon berkenaan memang layak untuk jadi pembadal haji.

Sumber  harian melaporkan pusat operasi Tabung Haji (TH) di bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini, agak sesak apabila ratusan penduduk tempatan hadir menjalani temu duga untuk menjadi 'pembadal' atau pelaksana upah haji.

Ia berikutan sambutan menggalakkan penduduk Makkah yang memohon untuk menjadi pembadal haji pada musim haji kali ini, dengan proses temu duga diadakan pada Rabu dan Khamis lalu.

TH membuka peluang kepada penduduk Makkah menjadi pembadal haji kerana menghadapi kekurangan pelaksana upah haji pada tahun ini.

Khidmat badal atau upah haji adalah khidmat sokongan disediakan TH kepada umat Islam Malaysia yang ingin melakukan ibadat haji atas nama ahli keluarga atau sesiapa saja yang sudah meninggal dunia.

Pengarah Operasi Bimbingan TH, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata pihaknya menerima 4,927 permohonan badal haji daripada umat Islam di Malaysia sejak permohonan secara atas talian diperkenalkan buat pertama kalinya pada Mei lalu.

Ia adalah permohonan paling tinggi berbanding tahun sebelum ini. Sebanyak 3,900 permohonan diterima pada tahun lalu.

Katanya, sehingga pagi Khamis lalu, pihaknya sudah menyempurnakan 3,300 permohonan badal haji dengan menyerahkan surah pelantikan kepada pembadal terpilih dan yakin baki 1,627 lagi akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Dalam pangkalan data TH, ada 5,600 pembadal yang sudah kita temu duga dan dikenal pasti layak untuk kita serahkan amanah untuk melaksanakan badal haji.

"Bagaimanapun, ramai pembadal bukan warga Arab Saudi dan tahun ini kita ada sedikit masalah berkaitan permit mereka kerana pihak berkuasa Arab Saudi tidak membenarkan mereka tinggal lama di sini.

"Mereka kena pulang sementara ke tanah air masing-masing, sama ada Thailand atau Indonesia. Jadi, kita ada sedikit kekurangan pembadal tetapi akan pastikan semua 4,927 permohonan badal haji diterima, akan kita laksanakan tahun ini," katanya.

Tengku Aziz berkata, disebabkan kekangan untuk menyediakan pembadal, pihaknya menetapkan jumlah maksimum permohonan badal haji yang akan disempurnakan ialah 5,000.

"Jika ada permohonan lagi sehingga melebihi 5,000, ia akan dibawa ke tahun berikutnya," katanya.

Beliau berkata, upah bagi melaksanakan badal haji ialah RM3,000 atau 2,400 riyal dan bayaran itu akan diberikan kepada pembadal menerusi dua peringkat iaitu sebelum dan selepas wukuf.

"Pembayaran peringkat pertama sebanyak 1,000 riyal dilakukan ketika mereka menerima surat lantikan, manakala pembayaran kedua untuk menyelesaikan bakinya, kita akan tanya dan semak untuk sahkan yang mereka benar-benar sudah laksanakan badal haji dan badal umrah bagi si mati," katanya.

Sementara itu, pembadal haji, Yaakob Ramli, 40, berkata dia sudah lapan tahun berturut-turut menjadi pelaksana badal haji yang diamanahkan kepada TH oleh umat Islam di Malaysia.

Beliau yang dilahirkan di Makkah dan ibu bapanya berasal dari Patani, Selatan Thailand, dan statusnya sebagai 'ahli' (penduduk) Makkah, memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi pembadal haji.

"Sebagai ahli Makkah, kami tak perlu permit tapi kalau orang luar Makkah, contohnya dari Jeddah atau Madinah, mereka dikenakan bayaran dan perlu permit untuk buat haji," katanya.

Yaakob berkata, walaupun organisasi pengurusan haji dari negara lain turut menawarkan kepada penduduk tempatan untuk menjadi pembadal haji, beliau tidak pernah menyertainya kerana lebih senang dan selesa dengan TH.

"Sistem TH menyenangkan. Semua urusan cepat dan lancar. Bayaran yang diberi kepada kami juga amat memuaskan," katanya.

Kredit Berita Harian - 21st Julai 2018


Klik sini untuk Kelengkapan Haji Dan Umrah Anda
whatsapp Kak Hajjah - 0192883235



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RAKAN NIAGA TELEKUNGMUSLEEMA