Dua hari menjelang Hari Malaysia negara dikejutkan dengan kebakaran yang meragut 23 nyawa anak-anak tahfiz dan warden pada subuh hari Khamis, 14 Sept 2017.
Takdir Allah swt semua ini berlaku, kita rasa sedih, pedih dan luka. Apalagi orang tua semua mangsa nahas. Kita tidak dapat mengelak ketentuan ini, asbabnya api yang membawa kemusnahan. Api adalah makhluk Allah jua, dicipta untuk menjadi cahaya penerang tetapi juga api adalah pemangsa yang berkuasa untuk membunuh.
Sampai hari ini airmata meluncur laju membaca atau melihat video tragedi ini.
Sampai hari ini airmata meluncur laju membaca atau melihat video tragedi ini.
SUMBER BERNAMA - 11 JENAZAH SELAMAT DIKEBUMIKAN DI RAUDHATUL SAKINAH
KUAL LUMPUR – Pengebumian 11 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato’ Keramat meruntun perasaan mereka yang berada di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda dekat sini lewat petang ini.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi ribuan hadirin yang menyaksikan pengebumian mangsa yang maut dalam tragedi kebakaran asrama mereka awal pagi semalam, ketika jenazah diturunkan satu demi satu ke liang lahad.
Kesemua jenazah selamat dikebumikan secara berperingkat di dalam 11 liang lahad bermula kira-kira 6.30 petang setelah disembahyangkan di surau kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jenazah pertama yang dikebumikan ialah Allahyarham Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, sebelum waktu Maghrib, dan keadaan menjadi sayu sebaik bacaan talkin dibacakan Ustaz Mohamad Shukeri Yaacob.
Sepuluh jenazah lain iaitu tiga beradik Muhammad Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhammad Harris Ikhwan, 10; dan Muhammad Hafiz Iskandar, 11; Muhammad Zatullah Roslan, 11; Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12; Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16; Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13; Muhammad Nizammudin Nasron, 13; Muhammad Daniel Md Amin, 14; dan Amiel Asyraaf Abd Rasid,11, dikebumikan selepas solat Maghrib.
Semua jenazah dikebumikan dalam kedudukan bersebelahan antara satu sama lain dalam satu barisan panjang yang masing-masing ditandakan dengan papan kecil tertera nama mereka.
Ini bagi memudahkan urusan penghormatan terakhir oleh waris dan anggota keluarga serta kenalan mangsa memandangkan terdapat 11 keluarga di kawasan tanah perkuburan ini.
Keadaan tanah yang becak dan hujan renyai tiba-tiba semasa pengebumian berkenaan tidak menghalang waris dan anggota keluarga mangsa, yang tiba sejak selepas solat Jumaat, terus berada di perkuburan itu sehingga urusan pengebumian selesai.
Episod meruntun jiwa itu turut menyaksikan ada waris yang pengsan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad, meratapi pemergian insan tersayang dan ada juga waris yang terpaksa dipapah serta ditenangkan.
Urusan pengebumian kesemua 11 jenazah selesai kira-kira 9 malam dengan penuh hiba diiringi linangan air mata anggota keluarga terdekat sewaktu menjirus air mawar dan bunga.
Beberapa waris mangsa yang ditemui bersyukur dengan urusan pengebumian yang berjalan lancar dengan bantuan beberapa agensi kerajaan, majlis agama serta anggota pasukan keselamatan seperti bomba dan polis.
Mohd Zamzuri, bapa Allahyarham Muhammad Aidil Aqmal, berterima kasih kepada semua yang terlibat termasuk rakan-rakan sekerjanya yang tidak putus-putus hadir memberi semangat dan ucapan takziah kepadanya.
Ibu kepada tiga beradik, Mas Hawani Mohamed Shahid, 37, reda dengan ujian kehilangan ketiga-tiga anak lelakinya serentak, untuk ‘bersama-sama’ suaminya yang dijemput Ilahi beberapa tahun lepas.
"Saya reda dengan ketentuan Allah yang lebih sayangkan anak-anak saya. Mereka akan menemui ayah mereka di 'sana', " katanya dengan nada sebak.
Sementara itu, ayah kepada Allahyarham Muhammad Zatullah, Roslan Omar, 52, bersyukur kerana jenazah anaknya ditemui sempurna dan hanya mengalami kebakaran di bahagian kaki, memudahkannya mengenali mayat anak keduanya itu.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi tazkirah dan mengetuai bacaan tahlil.
Dalam kejadian 5.15 pagi semalam, 21 pelajar dan dua warden yang juga guru pusat tahfiz itu maut dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan tiga tingkat di Jalan Keramat Ujung, di sini.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan