10
Syarat Pakaian Solat bagi Perempuan - copy from hafiz
Perbincangan yang ke-10 ini khusus membicarakan
syarat-syarat pakaian bagi perempuan apabila mereka hendak mendirikan ibadah
solat samada dalam suasana musafir mahupun tidak musafir. Adat kebiasaan
Nusantara melihatkan kaum wanita selalu dan hanya selalu memakai set kain putih
yang digelar sebagai telekung setiap kali mereka bersolat sehinggakan dianggap
bahawa itu adalah jenis pakaian yang wajib bagi seorang wanita untuk
mendirikan solat. Insya-Allah dalam perbincangan ini akan dihuraikan syarat
sebenar pakaian solat bagi wanita dan lain-lain hal bertalian dengannya.
Diharapkan perbincangan ini akan membawa manfaat apabila dengan tidak sengaja
timbulnya suasana yang menjemputnya.
Syarat Pakaian Solat Wanita.
Pakaian wanita dalam solat terbahagi kepada dua,
pertama yang menutupi kepala sehingga leher dan labuh ke dada manakala yang
kedua ialah yang menutupi badan sehingga labuh ke kedua-dua kaki. Dua hadith di
bawah ini dijadikan rujukan oleh para ahli fiqh -
[01] Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Tidak diterima solat
seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung. (Khimar).[1]
[02] Ummu Salamah radiallahu-anha berkata
bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu - alaihi - wasallam:
Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang (Dar'u) dan
tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar) ? Beliau bersabda: Boleh, apabila
pakaian panjangnya itu (Dar'u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.[2]
Hadith pertama menerangkan bahawa seorang wanita
yang hendak bersolat, hendaklah dia memakai kain tudung atau dalam Bhs. Arab
adalah Khimar iaitu sehelai kain yang menutupi kepala sehingga ke leher.
Ini adalah makna dari segi bahasa, sementara dari segi tuntutan syari'at pula,
tudung yang dipakai itu hendaklah dilabuhkan dari kepala sehinggalah ke dada
atau lebih sedikit sampai menutupi kawasan kedua buah dadanya. Ini jelas
tertulis dalam al-Qur'anul Karim - dan hendaklah mereka menutup bahagian
dada mereka dengan tudung kepala mereka. [Maksud surah an-Nur 24 - 31].
Hadith ini juga menunjukkan bahawa memakai
tudung adalah syarat sah atau tidak solat seorang wanita itu, difahami melalui
lafaz …Tidak diterima solat seorang wanita…… Dari itu jelas hukum
fiqh bahawa memakai tudung yang menutupi kepala sehingga ke dada seorang wanita
itu adalah merupakan syarat sah solatnya.[3]
Hadith kedua menerangkan bahawa pakaian seorang
wanita itu, selain dari tudung kepalanya, hendaklah sesuatu yang panjang
sehingga dapat menutup dari leher sehinggalah ke kedua belah tapak kakinya.
Dar'u ialah pakaian Arab yang seumpama gaun atau jubah yang dipakai melalui
leher dan ianya memanjang sehingga ke betis atau lebih[4],
maka melalui hadith ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mensyaratkan bahawa gaun
atau jubah itu haruslah memanjang sehingga menutup kedua tapak kaki wanita.[5]
Dari dua hadith ini jelaslah bahawa pakaian
solat seorang wanita itu ialah sesuatu yang dapat menutup dari kepala
sehinggalah ke kakinya. Secara minimum ia terdiri dari dua helai kain iaitu yang
pertama adalah tudung kepala dan kedua adalah baju panjang. Selain itu boleh
memakai lebih dari dua helai kain asal sahaja ia menutup dari kepala hingga ke
kaki. Dua bahagian anggota yang terkecuali ialah muka dan tangan dari
pergelangan ke bawah di mana ia tidak perlu ditutup. Ini berdasarkan firman
Allah Azza waJalla: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali yang zahir daripadanya. [Maksud surah an-Nur 24 - 31].
Dari ayat di atas Allah Subhanahu waTa'ala
melarang kaum wanita daripada memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka
kecuali yang zahir darinya. Yang dimaksudkan sebagai zahir ialah sesuatu yang
biasa terdedah, selalu dipergunakan untuk kerja harian dan tidak merangsangkan
nafsu kaum lelaki secara normal. Anggota-anggota yang zahir ini ditafsirkan
sebagai muka dan tangan dari pergelangan hingga ke hujung jari.[6]
Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat kedua bahagian ini, samada tangan
mahupun muka perlu tetap ditutup.
Jenis Pakaian
Jenis pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan
labuh yakni tidak menampak bentuk badan wanita tersebut, sekalipun dia merasakan
badannya tidak mempunyai bentuk. Ini dapat difahami juga melalui ayat di atas
yang melarang kaum wanita memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka. Perhiasan
ini ada dua jenis, iaitu perhiasan asli tubuhnya dan kedua ialah perhiasan
tambahan seperti rantai, gelang dan sebagainya. Kedua-dua ini tidak boleh
diperlihatkan kepada khalayak umum kecuali kepada suaminya dan beberapa ahli
keluarga terdekat.[7]
Cara terbaik untuk melindungi perhiasan asli tubuh badan ialah dengan mengenakan
pakaian longgar dan labuh dan ini adalah sesuatu yang disepakati tanpa keraguan.
Antara tuntutan yang senada ialah memakai pakaian yang tidak nipis sehingga
menampakkan warna kulit atau bayangan tubuh badan di sebaliknya. Ini juga
termasuk tuntutan menutup aurat wanita.[8]
Daripada dua penjelasan di atas, iaitu syarat
pakaian dan jenis pakaian, dapatlah kita ketahui bahawa pakaian yang semestinya
dipakai oleh seorang wanita apabila sedang solat atau di luar solat adalah
sesuatu yang dapat menutup dirinya dari kepala sehingga ke kaki kecuali muka dan
tangan dari pergelangan ke jari-jari. Selain itu pakaian tersebut hendaklah
longgar dan labuh, tidak menampakkan bentuk badan ataupun bayangan ataupun warna
kulit di sebaliknya. Oleh itu apa sahaja pakaian yang dapat menepati syarat ini
boleh digunakan bagi tujuan mendirikan solat dan urusan harian di luar rumah.
Telekung yang selalu dipakai oleh muslimah di Nusantara ini sangatlah baik
kerana ia menepati segala syarat-syarat tersebut tetapi perlu diketahui bahawa
telekung bukanlah satu-satunya sahaja yang boleh digunakan untuk bersolat. Dalam
erti kata lain, telekung bukanlah syarat wajib solat.
Seperkara lain yang perlu dinyatakan ialah
bahawa walaupun muka dan tangan tidak dikategorikan sebagai aurat yang wajib
ditutup, kedua bahagian ini amat dituntut agar tidak dihiasi dengan sesuatu yang
boleh membawa perhatian atau rangsangan kepada orang lain. Sebagai tambahan,
walaupun muka itu tidak wajib ditutup, ia amat digalak agar diselindungi
disebalik kain nipis atau yang seumpama bagi mengelak niat buruk orang-orang
lelaki yang rakus sifatnya.[9]
Perkara kedua yang perlu dinyatakan di sini
ialah syarat pakaian solat sepertimana yang diterangkan di atas adalah wajib
dipatuhi oleh seseorang itu samada dia berada dalam suasana orang ramai atau
bersendirian. Dalam erti kata lain, sekalipun seorang wanita itu berada
berseorangan dalam biliknya, dia tetap wajib menepati syarat-syarat ini
sekalipun tiada orang yang melihat. Ini adalah kerana syarat pakaian solat
adalah bagi memenuhi hak dan adab seorang hamba yang sedang beribadah kepada
Rabbnya dan ia tidak berhubung-kait dengan adab sesama manusia. Berbeza pula
dalam suasana di luar etika solat, di mana seseorang wanita itu dibolehkan
membuka kain tudung atau sebagainya apabila berhadapan dengan suami, ayah
sendiri, keluarga terdekat dan seterusnya.[10]
Apabila pakaian yang ada tidak menepati
syarat.
Apabila seseorang muslimah hendak bersolat lalu
tidak mempunyai pakaian yang dapat menepati syarat-syarat di atas maka apakah
tindakan seterusnya ? Contohnya ialah apabila berada dalam pesawat terbang lalu
disedari bahawa dia terlupa membawa set telekung atau kain tudung (bagi yang
sememangnya tidak bertudung); dan setelah dicari apa-apa alternatif pakaian lain
namun tidak ditemui juga. Maka bagaimanakah tuntutan solatnya ?
Maka yang pertama perlu dijelaskan ialah
menunda solat tersebut ke waktu atau masa yang lain atas tujuan akan diqadha
adalah bukan salah satu dari alternatif yang dibenarkan syara' kerana solat
tersebut tetap wajib ke atas dirinya. Solat hanya boleh ditunda dari masanya
dalam situasi darurat, iaitu situasi yang melibatkan ancaman bahaya kepada nyawa
atau mana-mana anggota badannya (Life and Death situation only). Adapun
ketiadaan pakaian yang dapat menepati syarat-syarat solat maka itu dipandang
sebagai satu keuzuran dan bukan darurat.
Satu pilihan syari'at yang dibolehkan ialah
menjamakkan solat tersebut jikalau dijangkakan bahawa dalam waktu yang akan
datang dia berkebolehan untuk melaksanakan solatnya itu dengan memenuhi syarat
pakaian yang sempurna. Antara solat Zohor dan Asar, atau antara solat Maghrib
dan I'syak, boleh didirikan dalam satu waktu jikalau ada kesulitan yang menimpa,
sekalipun tidak dalam keadaan musafir. Contohnya seseorang yang tidak mempunyai
pakaian yang menepati syarat bagi solat Zohor dan dijangkanya secara yakin
bahawa dia mampu memenuhinya pada waktu Asar nanti maka dianjurkan dia
mendirikan solat Zohornya itu bersama solat Asar dalam waktu Asar nanti
berdasarkan kaedah jamak takhir. Persoalan seterusnya adalah - apakah yang harus
dilakukan apabila tiba waktu solat Asar dan dia masih belum dapat menepati
syarat pakaian yang diwajibkan, atau bagi solat subuh yang sememangnya tidak
boleh dijamak atau dilengah-lengahkan ?
Apabila sesuatu dari tuntutan agama tidak dapat
dipenuhi oleh seseorang insan, syari'at menganjurkan agar dia tetap berusaha
untuk melaksanakan perintah asal tersebut dengan sesempurna mungkin, sedaya
mungkin dan sekuat mungkin. Dua dalil yang dijadikan petunjuk oleh para ahli
fiqh ialah firman Allah Azza waJalla dalam surah at-Taghabun 64, ayat 16 yang
bermaksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah
bersabda: Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu jauhinya dan
apa yang aku perintah kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan sedaya mampu.[11]
Dari dua petunjuk dalil di atas, para ahli fiqh
segenap Mazhab yang empat tetap mewajibkan seseorang mendirikan solat-solat
fardhunya sekalipun pakaiannya tidak mencukupi syarat-syarat yang termaktub.
Apabila pakaian yang sedia dipakai tidak menepati syarat sepenuhnya untuk
bersolat dan setelah diusahakan gagal menemui sebarang pakaian atau alternatif
lain maka dibolehkan tetap bersolat dengan pakaian yang sedia ada.[12]
Justeru itu tetap diharuskan bersolat sekalipun berpakaian jubah atau baju
kurung atau baju kebaya atau apa-apa sekalipun walau hanya dengan seluar jeans
dan baju kemeja T. Bagi yang memakai tudung diharuskan terus bersolat sekalipun
tudung tersebut adalah kecil dan tidak labuh sehingga ke dada sementara bagi
yang tidak bertudung diharuskan juga tetap bersolat sekalipun tanpa tudung.
Solat sebegini adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi atau diqadha.
Walaubagaimanapun diulangi bahawa kebolehan ini
hanyalah bagi mereka yang benar-benar gagal menemui sebarang bentuk pakaian yang
dapat menutupi kepalanya atau/dan lain-lain bahagian sebagaimana yang
disyaratkan. Sikap malas atau sengaja meremehkan tuntutan menutup aurat dalam
solat bukan sahaja menyebabkan solatnya tidak sah tetapi juga akan
dipertanggung-jawabkan kerana mempermainkan hukum agama.
Syarat minima pakaian solat.
Sudah tentu tertanya di hati - apakah dia batas
minima bagi seseorang yang pakaiannya tidak menepati syarat-syarat solat ? Maka
jawapannya ialah walauapapun kekurangan pakaian yang dihadapi, solat tersebut
tetap wajib dilaksanakan dan tetap sah sekalipun jikalau terperangkap dalam
suasana tidak berpakaian langsung. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, ahli fiqh mutakhir
dan juga Ketua Fakulti Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Damaskus, Syria
menerangkan rincian pendapat setiap mazhab ahli sunnah yang empat mengenai batas
minima pakaian solat seseorang[13],
iaitu -
Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Maliki,
seseorang yang tidak mempunyai pakaian penutup aurat hendaklah dia tetap
bersolat sekalipun bertelanjang kerana menutup aurat adalah dituntut ketika
terdaya maka gugurlah tuntutan jika tidak terdaya.
Menurut pendapat Mazhab Hanbali, dalam
keadaan tidak ada penutup aurat hendaklah dilakukan solat secara duduk dan
melakukannya secara isyarat.
Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Shafie
dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun dengan melumuri tanah pada tubuh
badan sebagai penutup aurat dan berkekalan dalam keadaan sedemikian sehingga
selepas solat, atau dengan melumuri air yang keruh pada tubuh badan sebagai
penutup aurat.
Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi
dan Maliki memadai dengan kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat,
sementara menurut pendapat yang asah di kalangan ulama'-ulama' Mazhab Shafie,
hendaklah menutup kemaluan dengan tangan, begitu juga menurut pendapat
ulama'-ulama' Mazhab Hanbali kerana dengan itu tercapai tujuan menutup aurat
sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Dalam keadaan tersebut menurut pendapat
ulama'ulama' Mazhab Shafie, hendaklah dilakukan solat secara berdiri bagi
menyempurnakan rukun solat dan menurut pendapat yang madhab di kalangan mereka,
solat tersebut tidak wajib diulangi selagi sebagaimana yang telah dijelaskan
sebelum ini. Sementara itu menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi,
hendaklah dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat ketika rukuk dan
sujud sebagaimana juga pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanbali. Itulah yang lebih
utama daripada solat secara berdiri dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud
kerana menutup aurat adalah lebih penting daripada menunaikan rukun.
Demikian salinan penerangan Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili. Penerangan di atas insya-Allah tidak mungkin akan temui suasananya
dalam sepanjang hidup kita. Namun ia dikemukakan bagi menunjukkan bahawa para
ulama' fiqh dari semua 4 Mazhab yang sedia ada tetap mewajibkan solat
dilaksanakan dalam waktunya sekalipun berhadapan suasana dan keadaan yang amat
mengharukan. Faktor ketiadaan pakaian yang secukupnya tidak diterima sebagai
alasan atau dalih untuk menundakan solat atau meninggalkannya terus.
Kesimpulan.
1.
Syarat pakaian solat
yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang menutupi dari
kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang dapat menutupi sehingga
ke kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya hendaklah longgar dan tidak
menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga melihatkan
warna kulit di sebaliknya.
2.
Apabila gagal menepati
syarat pakaian solat yang diwajibkan dan dia telah berusaha sedaya mampu,
hendaklah tetap mendirikan solat tersebut dengan sekadar apa yang ada. Solat
sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.
[1]
Maksud hadith riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi,
Sunan Tirmizi - no: 0374.
[2]
Maksud hadith riwayat Imam Abu Daud,
Sunan Abu Daud - no:
0611.
[3]
Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/100-101 , Imam
as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/392.
[4]
Shaikh Muhammad 'Attiyah Khamis -
Fiqh Wanita - Solat, ms
11.
[5]
Dari hadith ini ada penerangan hukum lain yang lebih mendalam,
lihat kitab Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/100-103 , Imam
as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/394, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie -
Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/212-234.
[6]
Muhammad Asad - The Message of The Qur'an - Translated and
Explained, pg 538, fn 37.
[7]
Lihat surah an-Nur 24 sambungan ayat 31.
[8]
Antara tulisan yang terbaik mengenai syarat-syarat pakaian
wanita ialah buku berjudul Hijab al-Mar'ah al-Muslimah fii Kitab
al-Qur'an was-Sunnah oleh Shaikh Nasiiruddin Albani. Lihat juga
mana-mana buku yang khusus membicarakan berkenaan Islam dan wanita, antara
lain oleh Maulana Wahiduddin Khan - Islamic Women in Syariah, Prof.
Abdur Rahman I. Doi - Women in Syari'ah dan banyak lagi.
[9]
Demikian penjelasan Shaikh Nasiiruddin Albani - Hijab
al-Mar'ah al-Muslimah fii Kitab al-Qur'an was-Sunnah, ms 31 dan Shaikh
M. Ali as-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum al-Qur'an, 2/273-274.
[10]
Imam Ibnu Taimiyah -
Hijab, Pakaian Wanita dalam Solat dan
Luar Solat (edisi terjemahan, tahqiq oleh Shaikh Nasiiruddin Albani) - ms
76.
[11]
Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam
Bukhari dan Muslim, Syarh Matan al-Arba'in an-Nawawi, no: 09.
[12]
Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopidia Fiqh Wanita,
1/286, Shaikh Ahmad Naqib al-Misri - Umdat al-Salik, F-5.8. (Kini
telahpun diterjemahkan ke Bhs. Ingg oleh Nuh Ha Min Keller atas tajuk -
Reliance of the Traveller.)
[13]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/60I,
Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi - al-Mughni, 1/592, Imam an-Nawawi
- Majmu Syarh al-Muhadzzab, 3/188, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie -
Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/247.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan