Isnin, 9 Julai 2018

CUACA PANAS MUSIM HAJI - TERIMAKASIH PETUGAS TABUNG HAJI


SUMBER BERITA HARIAN: --

SEPANG: Jangkaan cuaca panas di Arab Saudi yang suhunya boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius antara cabaran bakal dihadapi 30,200 jemaah haji Malaysia sepanjang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata jemaah haji dinasihatkan untuk menjaga kesihatan masing-masing sepanjang berada di sana selain mematuhi arahan dikeluarkan TH.

"Cuaca panas sepanjang musim haji ini antara cabaran perlu dihadapi oleh jemaah. Alhamdulillah, TH sudah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka.

"Langkah ini bagi memastikan jemaah haji Malaysia bersedia menghadapi suasana cuaca panas selain menjaga kesihatan masing-masing, malah rombongan petugas perubatan juga berada di sana untuk memberikan bantuan dan rawatan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kumpulan Kedua Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata, tahun ini seramai 600 petugas haji bertugas di Tanah Suci dengan kumpulan pertama membabitkan 13 petugas teknologi maklumat (IT) berlepas pada 2 Julai lalu dan 141 orang pada hari ini, manakala kumpulan seterusnya pada 11 Julai ini.

"Kumpulan kedua pada hari ini terdiri daripada 62 petugas kebajikan, 63 petugas perubatan dan 16 petugas media berlepas jam 2.45 petang dengan penerbangan Malaysia Airlines dan dijadual tiba jam 6.45 petang waktu tempatan.

"Penerbangan jemaah haji Malaysia menggunakan dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines dan Flynas, manakala tahun ini kali pertama pelepasan dibuat di Kompleks Haji Sepang selepas 36 tahun ia dilaksanakan di Kompleks Haji Kelana Jaya," katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat terbaik kepada semua jemaah haji, malah petugas haji juga sudah bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani.

"Petugas haji terbabit sudah melalui persiapan bagi memantapkan ilmu selain menguatkan ketahanan fizikal dalam memberi khidmat terbaik kepada jemaah haji," katanya.

Kumpulan jemaah haji pertama Malaysia akan berlepas 14 Julai ini, manakala penerbangan ke Tanah Suci terakhir pada 15 Ogos ini.

Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan bagi operasi haji tahun ini, menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas.

Penerbangan pulang jemaah haji Malaysia dijadualkan pada 29 Ogos hingga 25 September.

Kak Hajjah berterima kasih dengan petugas Tabung Haji semua yang bertugas dengan senyuman yang tak lepas dibibir menghadapi kerenah kami makcik dan pakcik nie. Yang kadang-kadang banyak songeh macam budak kecik.

Kepada bakal haji dan hajjah berikan kerjasama kepada mereka, banyakkan bersabar ya.

Semoga anda semua dapat haji mabrur. Nah hadiah korang lagi nie mesti nangis punya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RAKAN NIAGA TELEKUNGMUSLEEMA