KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan haji dan umrah akur dengan larangan kerajaan Arab Saudi dalam melarang jemaah untuk melawat beberapa kawasan di kota Mekah dan Madinah.
Antaranya kawasan yang dilarang termasuk Gua Hira’ dan Thur di Mekah serta ladang kurma, Masjid Ku’ dan Masjid Ibnu’ Abbas di Madinah.
Larangan itu difahamkan mempunyai kaitan dengan aktiviti khurafat yang dilakukan oleh para jemaah.
Arahan larangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji Arab Saudi itu telah tular di laman media sosial sejak kelmarin dengan beberapa keping surat yang dipercayai menyatakan tempat yang dilarang untuk dikunjungi di Mekah dan Madinah telah berkuat kuasa pada 19 April lalu.
Pengarah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Ida Riswana Idris (gambar kecil) berkata, syarikat mereka mengetahui perintah larangan itu sejak seminggu lalu dan akur dengan segala arahan tersebut.
“Notis tersebut telah dikeluarkan dalam dua minggu lalu dan selepas menerima notis itu, kami terus mengambil keputusan untuk menguatkuasakan larangan ke lokasi yang disebutkan itu secara serta-merta.
“Kami akur dengan perintah larangan tersebut kerana ia hanya tempat ziarah dan tidak memberi kesan kepada ibadah haji dan umrah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, tujuan utama jemaah ke Tanah Suci adalah untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah dan perintah tersebut tidak mencacatkan niat mereka ke Mekah dan Madinah.
Seorang mutawif dari Syarikat Juara Travel bagi cawangan Perak, Mat Isa Adam pula menyifatkan larangan berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kerana jemaah tidak dapat menziarahi kawasan bersejarah.
“Ada antara kawasan yang dilarang itu pernah menjadi lokasi kunjungan Nabi Muhammad SAW.
“Bagaimanapun, kami tetap menghormati apa yang telah diperintahkan kerana khuatir dengan denda yang akan dikenakan sekiranya terdapat syarikat yang melanggar arahan tersebut,” ujarnya.
Pada 25 November 2017, kerajaan Arab Saudi melarang jemaah haji dan umrah merakamkan gambar di pekarangan Masjidilharam di Mekah serta Masjid Nabawi di Madinah.